Ini isi kandungan keratan akhbar di atas:
“Kita tidak mungkin akan mengecapi kejayaan kalau bukan dengan berusaha bersungguh-sungguh,” kata Guru Besar Sekolah Rendah Islam Saidina Abu Bakar As-Siddiq (Srisaas), Rahilah Akhtar Husin.
Menurutnya, Srisaas memiliki sistem pembelajaran berbeza dengan sekolah kafa yang lain.
Ini sebab, Srisaas amat menitikberatkan pengamalan zikir dan doa harian serta hafalan surah tertentu dalam Al-Quran.
“Setiap pagi murid Srisaas akan membaca zikir dan doa harian serta bacaan dalam solat yang telah dibukukan sendiri oleh pihak sekolah.
“Pihak sekolah percaya, pengamalan zikir ini dapat melembutkan hati serta memudahkan pelajar dalam memahami suatu pembelajaran,” ujarnya.
Selain itu, faktor kejayaan Srisaas juga kekerapan mengadakan kelas tambahan bagi pelajar tahun 5 yang akan menghadapi Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK) dan pelajar tahun 6 yang akan menghadapi Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA).
“Pada peringkat awal lagi Srisaas telah mengadakan kelas tambahan setiap Sabtu dan program intensif pada setiap cuti sekolah bagi melatih pelajar agar biasa dengan soalan yang akan keluar dalam peperiksaan.
“Srisaas percaya bahawa setiap pelajar mampu meraih keputusan cemerlang namun ia perlu dibantu dengan latihan yang kerap serta aktiviti di dalam kelas yang menarik serta tunjuk ajar daripada guru semaksimum yang mungkin,” kata beliau.